Khamis, 2 Januari 2014
Mari Mengenali Storan USB Tiruan
Selamat menyambut tahun baru 2014 semua. Semoga anda akan lebih berjaya lagi tahun ini. Just nak share posting ni yang saya terima daripada email warga_kilang. Kredit untuk penulis.
Pada minggu lepas, saya sempat singgah ke Jalan Pasar
yang terletak di Pudu, Kuala Lumpur
ketika selepas solat Jumaat. Bagi yang tidak mengenali lokasi ini, Jalan Pasar
cukup sinonim bagi warga Kuala Lumpur sebagai ‘syurga’ untuk barangan
elektronik. Boleh dikatakan hampir jumlah besar kedai yang berada di sini
kesemuanya menjual peralatan elektronik. Kebiasaannya, saya akan ke sini untuk
mencari peralatan audio visual.
Selain daripada menjual
peralatan elektronik, Jalan Pasar juga turut sinonim dengan jualan barangan
kering yang dijual di kaki lima
kedai lokasi ini. Ada
yang menjual beg, pakaian, ubat-ubatan, dan pelbagai barangan menarik yang
untuk dilihat. Cuma pada kali ini, saya tertarik dengan jualan aksesori telefon
yang menjual storan USB yang kita sedia kenali sebagai ‘pendrive’ dijual dengan
harga yang sangat murah. Ekspresi pertama saya sudah tentu ini pendrive
tiruan. Tidak mungkin pendrive 128GB boleh didapati dengan harga RM9!
Sebelum ini, saya perasan kehadiran storan tiruan mula
dijual secara meluas di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur terutamanya
pada tahun ini. Sekiranya anda berkunjung ke Bazaar Masjid India, anda pasti
akan perasan kehadiran peniaga yang menjual pendrive dengan harga murah
terutamanya di hadapan Masjid India itu sendiri. Selain Masjid India, lokasi
popular lain yang turut menjadi sindiket jualan storan seperti ini boleh
didapati di Pasar Karat Kuala Lumpur,
Petaling Street, dan sudah tentu, Jalan Pasar yang saya nyatakan di atas
sebelum ini.
Yang menariknya, barangan sebegini dijual secara meluas
dan terbuka kerana rupanya lebih kurang sama dengan storan USB original.
Sekiranya pembeli inginkan bukti bahawa pendrive tersebut betul-betul
mempunyai storan 128GB di dalamnya, si peniaga pasti boleh menunjukkannya.
Storan USB tiruan ini sekiranya ia dipalam pada komputer,
ia akan menunjukkan storan bebas yang sama seperti original. Daripada pandangan
kasar, ia seolah-olah tiada beza dengan storan original malah ia jauh lebih
murah daripada kebiasaannya.
Jadi, Apa Sebenarnya Storan Tiruan Ini?
Storan tiruan merujuk kepada storan kapasiti rendah yang
telah digodam, jadi ia boleh menunjukkan jumlah storan yang lebih besar
daripada yang sepatutnya hadir di dalam storan USB tersebut.
Storan seperti ini akan
mengatakan ia mempunyai kapasiti yang telah diperbesarkan pada sistem operasi,
yang mana ia akan memberitahu jumlah storan yang salah sekiranya kita melihat properties storan
ini. Storan tiruan boleh beroperasi secara normal pada kapasiti rendahnya akan
tetapi sekiranya ia mencapai tahap kapastiti ‘sebenarnya’, file di
dalamnya akan mula corrupt dan turut berpotensi menghilangkan data
secara besar-besaran.
Sebagai contoh, saya ambil storan USB yang dikatakan
dalamnya ada 512GB. Tapi disebabkan ia telah digodam, storan ini hanya
mempunyai kapasiti ‘sebenar’ yang sebesar 16GB sahaja di dalamnya dan bukan
bersaiz 512GB seperti dinyatakan dalam properties pada komputer.
Secara kasar, storan tiruan juga mempunyai ‘real memory’
di dalamnya cuma ia tidak menunjukkan hasil storan sebenar sebaliknya
menunjukkan storan palsu yang diperbesar hasil daripada proses godaman.
Apa yang turut membimbangkan, storan microSD turut sama
menjadi mangsa tiruan ini.
Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Storan Original atau
Tiruan?
Perkara paling mudah yang anda boleh bezakan jenis storan
ini adalah dari segi harga dan saiz kapasitinya. Harga storan USB yang
murahnya dalam sekitar 10%, 20%, dan 40% lebih murah daripada harga asal masih
boleh dikatakan original tapi sekiranya ia menjangkau harga 60%, 70% malah
sehingga 90% lebih murah daripada harga sebenar, anda perlu mula
berhati-berhati.
Sebagai contoh, harga pasaran storan USB bagi kapasiti
128GB adalah sekitar RM265. Di kedai lain, saya menjumpai harga yang lebih murah
daripada kedai tersebut yang menjualnya dengan harga RM210 sahaja. Kedua-dua
ini masih lagi boleh dikatakan harga pendrive original kerana ia masih
lagi agak mahal. Tapi sekiranya anda menjumpai pendrive 128GB pada harga
serendah RM9, RM15, RM30, inilah yang dikatakan storan palsu.
Perkara lain yang anda boleh lihat adalah dengan mengenal
pasti ketelusan packaging storan ini. Selalunya packaging storan
tiruan hadir dengan tulisan dan font yang cetakannya agak buruk dan
tidak sekemas packaging original. Cara ini mungkin agak sukar bagi
pengguna biasa kerana bila dilihat, ia kelihatan lebih kurang sama. Saya
sarankan sekiranya anda membeli storan original, telitikan cara packaging
storan tersebut. Biasakan diri untuk membaca hasil kekemasan packaging
original dan anda akan mula merasa perbezaan apabila memegang packaging
storan tiruan.
Tipu Helah dan Simptom Storan Tiruan
Apabila anda melihat properties storan tiruan ini,
sistem operasi seperti Windows, OS X dan termasuk Linux sendiri akan
menunjukkan jumlah kapasiti seperti yang dinyatakan pada kotak pembelian.
Melalui pemerhatian ini, ia seolah-olah menunjukkan storan yang betul dan
sebenarnya inilah merupakan kapasiti yang telah digodam dan bukan jumlah
kapasiti yang sebenar pada storan tersebut.
Tipu helah kedua, storan USB ini boleh digunakan sama
seperti storan original. Anda boleh gunakan untuk membuat proses copy
dan paste file ke dalamnya asalkan tidak mencapai storan ‘sebenarnya’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, storan tiruan akan
menunjukkan simptom apabila data yang dimasukkan melebihi jumlah ‘sebenar’
daripada apa yang dinyatakan.
Selepas ia mencapai tahap tersebut, data baru yang
dimasukkan akan hilang secara sendirinya. Folder mungkin ada yang tidak
terkesan langsung akan tetapi data di dalamnya akan mula corrupt
(selalunya dalam 0 byte) apabila ia dibaca semula. Perkara ini mudah
dikenal pasti sekiranya anda cuba untuk membuka file di dalamnya, anda akan
dapati gambar, video, dan dokumen anda rosak dan hilang tanpa diduga.
Simptom lain yang boleh didapati apabila storan jenis ini
mula membuat proses overwriting secara sendirinya yang mana anda akan
dapati root folder pada storan ini menjadi blank secara
tiba-tiba. Ada juga simptom yang mana storan ini menjadi write protected
apabila mencapai had storan sebenar dan ada juga simptom yang mana ia tidak
akan menunjukkan sebarang error sehinggalah storan ini dikeluarkan dan
dimasukkan kembali ke dalam komputer.
Bagaimana Untuk Menguji Storan Ini?
Salah satu cara anda boleh menguji storan tiruan ini
adalah dengan meletakkan banyak data di dalamnya. Saya sarankan anda untuk
meletakkan data sekurang-kurangnya 25% daripada kapasiti yang dinyatakan pada
storan tersebut. Storan tiruan akan mula menunjukkan tidak ketulenannya apabila
lebih 25% kapasiti digunakan daripada kapasiti storan asal.
Setelah anda meletakkan data lebih daripada yang
dinyatakan di atas, keluarkan storan tersebut dan masukkan kembali ke dalam
komputer. Sekiranya ada file yang mula corrupt atau salah satu file
di dalamnya secara tiba-tiba mempunyai salinan file yang sama secara banyak,
bermakna storan tersebut adalah dikatakan storan tiruan.
Cara lain yang anda boleh gunakan adalah dengan
menggunakan perisian h2testw yang membolehkan anda melihat jumlah storan
sebenar pada storan yang disyaki tiruan. Cuma melalui cara ini ia mengambil
masa yang agak lama kerana ia akan menjalankan proses kemasukan dan bacaan data
yang sebenar. Storan generic selalunya mempunyai writing speed
sehingga 3 hingga 12MB per saat dan ini mungkin memakan masa kira-kira 10
hingga 40GB per jam.
Menggunakan perisian h2testw juga mudah yang mana ia
hadir dengan antara muka yang ringkas dan straight-forward untuk
pengguna. Anda hanya perlu memilih ‘target’ iaitu storan yang ingin diuji
kemudian jalankan proses ‘write and verify data’. Sekiranya ia menunjukkan data
loss yang banyak lebih daripada apa yang dinyatakan, storan tersebut
disahkan mempunyai storan palsu di dalamnya.
Muat turun: Perisian h2testw
Inilah sebab mengapa sindiket jualan storan tiruan sukar
dibasmi kerana ia sukar dikenalpasti pada permulaannya dan memerlukan satu
proses yang ‘proper’ seperti di atas yang mengambil masa yang agak lama.
Konklusi
Sekiranya anda terbeli storan seperti ini, anda masih
boleh gunakannya seperti biasa cuma ada beberapa langkah perlu diambil. Saya
sarankan anda jalankan ujian melalui perisian di atas dan kenal pasti storan
sebenarnya. Sekiranya ia menunjukkan storan sebenar sebanyak 128MB, jangan
masukkan data di dalamnya lebih daripada kapasiti tersebut. Jika tidak, file
anda akan mula rosak dan sudah pasti ia mengundang bahaya pada data penting
anda.
Perkara ini juga turut memberi jawapan mengapa ada
peniaga berani meletakkan harga pendrive yang jaraknya hanya RM1 bagi
setiap perbezaan saiz seperti gambar yang berada pada awal artikel ini kerana
storan ‘sebenarnya’ adalah sama. Cuma ia dilabel dengan saiz storan yang lebih
besar dan itulah yang menjadikan ia lebih mahal RM1 berbanding storan 32GB yang
dalamnya juga mempunyai storan ‘sebenar’ sebesar 128MB.
Bagi anda yang membaca artikel ini, saya menyeru untuk
memberitahu keluarga dan rakan-rakan anda mengenai perkara ini. Jangan biarkan
virus epidemik ini terus menular ke tangan orang yang kita sayangi dan jangan
pula kita sendiri tumpas ke tangan storan USB tiruan ini. Sama-samalah kita
membanteras sindiket ini demi kesejahteraan orang di sekeliling kita dan dunia
pengkomputeran sejagat.
Labels:
Keselamatan dan Kesihatan,
Kualiti,
Nota Komputer
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Salam sahabat,betul bagai apa yg dikata,saya juga terbeli pendrive tersebut berkapasiti 64GB(RM30),banyak masalah bila simpan data semuanya hilang,bila nak format tak dapat,setelah di check storannya hanya beberapa MB sahaja yang lain kurap
BalasPadam